Tuesday, September 4, 2007

Terengganu












Oleh Nazura Ngah dan Suhana Roslan


Santuari gajah menjadi produk berasaskan alam sekitar sebagai tarikan baru Tahun Melawat Terengganu 2008

PENGALAMAN bermain dan mandi bersama gajah bakal menjadi pemandangan biasa bagi pengunjung ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara, Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

Ia antara perancangan dalam pembangunan pelancongan di tasik seluas 209,199 hektar yang memiliki 340 pulau dan menjadi antara pintu masuk ke Taman Negara.

Langkah mewujudkan santuari gajah bukan saja menjadi produk tarikan baru berasaskan alam sekitar, malah mampu menyelesaikan masalah pencerobohan gajah liar di kawasan penempatan penduduk di pedalaman.

Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata jika sebelum ini Tasik Kenyir memiliki santuari kelah di Sungai Petang, kewujudan santuari gajah bakal mencetuskan pengalaman baru bagi pengunjung yang gemar aktiviti mencabar bersama hidupan liar.

"Jalan Kuala Berang-Simpang Pulai, Ipoh memiliki jambatan khas memberi laluan pada hidupan liar antara konsep pemuliharaan alam sekitar yang diberi perhatian serius Kerajaan Terengganu dalam membangunkan pelancongan berasaskan air dan alam sekitar (aqua eco-tourism)," katanya.

Idris yakin gugusan pulau yang menjadi destinasi utama pengunjung apabila memilih Terengganu sebagai lokasi percutian akan berubah ke tanah besar sebelum diteruskan ke kawasan pedalaman sama ada Taman Negara mahupun Tasik Kenyir.

Malah beliau turut menyuarakan hasrat untuk meningkatkan populasi burung enggang (hornbill) yang menurut penduduk Kuala Berang, Hulu Terengganu boleh di lihat di beberapa lokasi Tasik Kenyir dan yakin populasi haiwan berkenaan mampu `menjual' tasik itu di kalangan pengunjung.

Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2008 tidak hanya terhenti selepas setahun dianjurkan, sebaliknya akan diteruskan kerana yakin sektor pelancongan mampu menyumbang 20 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri bagi tempoh tujuh dan lapan tahun akan datang.

Jika sebelum ini sektor pelancongan menyumbang sekitar tiga peratus, peratusan itu kini meningkat kepada tujuh peratus.

Idris yakin dengan iltizam semua pihak terutama agensi berkaitan sektor pelancongan, sumbangan sektor berkenaan kepada KDNK akan meningkat kepada 10 peratus dalam tempoh tiga tahun, sebelum mencapai sasaran 20 peratus.

Keyakinan itu berasaskan peningkatan bilangan pelancong ke Terengganu iaitu meningkat 15 peratus pada 2005, 26 peratus (2006) dan dijangkakan terus meningkat antara 20 hingga 30 peratus (2007).

Dijangkakan bagi 2007 jumlah pengunjung meningkat kepada antara tiga hingga empat juta berbanding dua tahun lalu.

Bagi memastikan TMT 2008 berjalan seperti yang dirancang, kerajaan negeri giat membangunkan infrastruktur, kemudahan dan pemikiran pemain dalam sektor berkenaan.

Dengan siapnya projek pembesaran terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di Kuala Terengganu Oktober ini, pengunjung akan menikmati kemudahan lebih moden dan selesa di pintu masuk laluan udara.

Malah, penjenamaan kereta sewa LTSM penghujung bulan lalu turut memberi nafas baru kepada pengusaha terbabit sekali gus meningkatkan imej kemudahan pengangkutan awam di Terengganu.

Bagi mereka yang melalui laluan darat, pemandangan indah di sepanjang perjalanan memberikan 1001 pengalaman baru khususnya kepada mereka yang jarang berpeluang menikmati udara segar dari laut.

"Seramai 1,000 belia mengikuti kursus pemandu pelancong bagi membolehkan kehebatan Terengganu sebagai negeri warisan, ilmu dan inovasi dapat di terjemahkan dengan lebih berkesan kepada pelancong.

"Harapan kerajaan negeri sempena TMT 2008 adalah untuk melihat pelancong disajikan dengan adat warisan dan cara hidup ketimuran orang Terengganu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, berkata kerajaan negeri akan menekankan tiga aspek utama dalam mempromosikan Terengganu sempena TMT 2008.

Beliau berkata, tiga elemen yang akan digabungkan adalah alam semula jadi, warisan dan tradisional yang memfokuskan kepada keindahan pulau yang terkenal dengan kecantikan flora dan fauna seperti Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol.

"Selain itu, warisan membabitkan sejarah negeri yang ditempatkan di Muzium Negeri Terengganu untuk membolehkan pelancong mengetahui latar belakang negeri ini yang terkenal sebagai negeri yang menjumpai batu bersurat dan tokoh pejuang sebelum kemerdekaan.

"Malah, ciri-ciri tradisional Terengganu yang terkenal dengan mutu buatan tangan seperti songket, batik dan kraf sedang giat dipromosikan dalam memastikan warisan ini tidak dilupakan generasi muda selain memperkenalkan tarian kebudayaan serta makanan tempatan," katanya.

Katanya, lebih 25 aktiviti utama bertaraf antarabangsa akan dibuat pada tahun depan sebagai cara dalam menarik pelancong luar untuk mengunjungi Terengganu sekali gus mampu meningkatkan jumlah pelancong dan menjana pendapatan kepada penduduk tempatan.

Antara aktiviti itu adalah World Endurance 2008, Festival Gamelan Sedunia, Terengganu International 4WD Rainforest Challenge, Terengganu International Bridge Run, Perhentian Discovery, International Superbike Conference, Paintball World Cup Series Asia, International Superbike Conference dan Piala Monsun.

No comments: