Tuesday, September 4, 2007

Terengganu : Berehat sambil nikmati keenakan buah-buahan



Oleh Zulkofli Jamaludin dan Hamid Salleh



MAMAT Ghazalee (kanan) memeriksa buah dokong yang
hampir masak di Dusun Wawasan Buah-buahan
Tempatan Terengganu di Kampung Kerong, Setiu.

Pengunjung berpeluang menikmati durian, rambutan dan menginap di banglo dua bilik atau chalet

DUSUN Warisan di Kampung Kerong, Pelong, Setiu kelihatan seperti kebun buah-buahan biasa namun sebaik melangkah 100 meter ke dalam dusun itu, pengunjung pasti terpesona melihat keindahan landskap pelbagai pokok ditanam sepanjang tebing Sungai Kerong yang membelah dari kiri ke kanan dusun seluas lapan hektar.

Pokok durian daripada pelbagai baka, pulasan, rambutan, manggis, limau, dokong dan duku yang sedang masak pasti memukau pengunjung yang berpeluang memetik sendiri serta menikmati keenakan buah-buahan tempatan di tebing sungai yang airnya mengalir jernih melalui bongkah batu.

PENGUNJUNG boleh menginap di banglo dua bilik atau
chalet serta menikmati urut tradisional bagi
merehatkan badan dan minda.

Pengunjung bukan saja berpeluang menikmati buah-buahan segar, malah menginap di banglo dua bilik atau chalet serta menikmati urut tradisional bagi merehatkan badan dan minda.

Dusun yang ditanam 1,001 jenis pokok buah-buahan, herba, balak dan pokok gaharu atau karas yang boleh digunakan sebagai bahan pewangi itu diusahakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Petroleum, Pertanian dan Perikanan Terengganu, Datuk Mamat Ghazalee Abdul Rahman, 59.

Dusun Warisan adalah sebahagian daripada Dusun Nukleus Pelong iaitu kawasan tanaman buah-buahan berkelompok seluas kira-kira 100 hektar yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, 13 tahun lalu.

"Saya orang politik yang sudah `tenggelam'. Inilah hasil yang diusahakan sejak menjadi wakil rakyat dan kini durian dari kacukan baka Beserah yang ditanam tujuh tahun lalu, berbuah buat kali pertama tahun ini.

"Apa yang menggembirakan durian kampung terpilih yang ditanam bersama durian kahwin seperti D24 dan D99 kini mengeluarkan buah bermutu tinggi dan boleh dijual dengan harga RM6 sekilogram," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mamat Ghazalee berkata, tanaman pelbagai spesies durian itu membolehkan pokok durian kampung didebungakan dengan baka terpilih dan secara langsung menghasilkan durian bermutu dan mempunyai daya tahan penyakit serta tidak mudah rosak.

Malah, katanya, ada durian di dusun itu yang masih enak dan tidak merekah atau berair walaupun selepas tiga hari gugur.

"Antara keistimewaan dusun ini ialah pokok buah-buahannya khususnya duku, pulasan dan rambutan rendang dan boleh dipetik menggunakan tangan.

"Sebahagian daripada pokok ini terletak di lereng bukit dan memudahkan pengunjung memetik buah tanpa menggunakan tangga," katanya.

Beliau berkata, pengeluaran buah-buahan bermutu tinggi itu hanya boleh dicapai jika pekebun menanam menggunakan baka terpilih dan sentiasa menjaga kebersihan kebun, mencantas dahan dan menggunakan baja seperti disyorkan pakar pertanian.

Selain pokok buah-buahan, Mamat Ghazalee, turut menanam pokok herba dan balak seperti sentang dan karas yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

"Dulu ketika menjadi Exco saya galakkan pemilik tanah tanam pokok sentang tetapi ramai ketawakan saya dan menganggap pokok itu sukar diusahakan," katanya sambil melahirkan rasa syukur kerana 12,000 pokok sentang dan jati yang ditanam 13 tahun lalu boleh ditebang dalam tempoh dua tahun lagi dan sudah ada pembeli.

Mamat Ghazalee berkata, penjagaan pokok sentang tidak begitu rumit kerana ia tahan cuaca panas dan sejuk serta tidak digemari oleh haiwan dan serangga.

Katanya, walaupun projek tanaman sentang memberikan pulangan lumayan namun setakat ini tidak ramai yang mengusahakannya secara komersial walaupun kerajaan negeri pernah memberi insentif sebanyak RM500 bagi setiap 0.4 hektar kepada pemilik mengusahakan tanaman itu.

Selain sentang, Mamat Ghazalee kini menanam 1,200 pokok karas yang digunakan sebagai bahan pewangi kerana harga sebatang kayu karas (gred empat) boleh mencecah RM25,000 dalam tempoh 10 tahun.

Sebelum batang pokok dijual, pokok karas boleh disuntik untuk menghasilkan damar yang akan membeku dalam tempoh dua hingga tahun dan harga satu gram damar bermutu tinggi boleh mencecah RM150.

Katanya, pengunjung khususnya mereka yang datang bercuti bersama keluarga boleh menginap di banglo atau chalet di Dusun Warisan yang dilengkapi bekalan elektrik dan kawalan keselamatan.

Selain jauh daripada hiruk pikuk kota, Dusun Warisan yang terletak di antara jalan dari Tasik Kenyir ke Sungai Tong, Setiu terletak bersebelahan sungai yang kaya dengan pelbagai spesies ikan.

"Selain menikmati buah-buahan, pengunjung boleh memancing bersama keluarga serta mempelajari nama dan khaziat pelbagai jenis pokok buah-buahan, herba dan balak yang ditanam di dusun itu.

"Pelawat yang mendapatkan urut tradisional pula akan diberikan herba dan makanan kesihatan bagi memastikan mereka segar dan bertenaga apabila pulang semula untuk bekerja," katanya sambil menyatakan hasrat untuk menjadikan dusun itu sebagai destinasi pelancongan popular di Terengganu.

Mamat Ghazalee berkata, beliau merancang membina 20 chalet untuk menampung lebih ramai pengunjung terutama apabila siapnya Lebuhraya Pantai Timur fasa dua dan jalan menghubungkan Kuala Berang-Simpang Pulai, Perak.

Katanya, pembinaan lebuh raya itu akan menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu dan berharap sebahagian daripada mereka akan bercuti di dusun kecil itu, tetapi cantik.


Bagaimana hendak ke sana?

Penerbangan Malaysia, Air Asia menawarkan perkhidmatan terus KLIA-Kuala Terengganu setiap hari yang mengambil masa kira-kira 45 minit


Penerbangan melalui FireFly dari Pulau Pinang-Kuala Terengganu setiap hari juga mengambil masa kira-kira 45 minit


Jika memandu lokasi hanya terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Kuala Terengganu.


Pengunjung perlu melalui Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dan apabila sampai di Pekan Sungai Tong, belok ke kiri ke Kampung Pelong. Destinasi terletak lima kilometer dari Kampung Pelong.

No comments: