Tuesday, September 4, 2007

Negeri Sembilan : The Legend Water Chalet ada tarikan




Calet di Port Dickson sedia akuarium lantai, tawar pengalaman baru pada pengunjung

HIDUPAN air kecil yang mewarnai filem animasi ‘Finding Nemo’ terbayang pada fikiran sebaik saja melangkah masuk ke sebuah calet di The Legend Water Chalet, Port Dickson apabila ikan pelbagai jenis berenang di dasar laut.

Berbeza dengan pusat peranginan lain, pemandangan istimewa ini hanya perlu kita nikmati di bilik sendiri kerana hotel terbabit menyediakan sekeping lantai kaca berkonsepkan akuarium telus pandang.

Walaupun saiz akuarium itu kecil tetapi elemen hidupan akuatik pasti menggamit ketenangan setiap tetamu yang datang berkunjung ke pusat pelancongan bertaraf empat bintang itu.

Melihat ikan di bawah kita tentunya memberi pengalaman baru kerana anda seakan-seakan boleh menangkap ikan yang bebas berenang dan memegang tumbuhan di dasar laut.

Ditambah dengan suasana bilik yang dibina dengan gabungan konsep Bali-Tropika dan moden, pastinya akan menghilangkan kepenatan selepas melalui perjalanan jauh yang meletihkan.

Selain itu, tekanan menjalankan tugasan seharian dapat dileraikan dengan pemandangan menarik yang hanya anda boleh lihat jika menyelam di dasar laut.

Mungkin bagi mereka yang pertama kali alami pengalaman baru itu pasti akan teragak-agak ketika melalui lantai akuarium kerana bimbang ia akan pecah berikutan tidak dapat menampung berat.

Perasaan sama turut dirasa penulis yang mengikuti lawatan media ke calet berkenaan baru-baru ini dan ia akhirnya hilang apabila pengurus hotel, Chan Hon Min memberitahu, kaca itu boleh menampung berat sehingga 500 kilogram (kg).

Chan berkata, konsep akuarium kecil di lantai setiap unit calet di kawasan itu adalah ilham pihak pengurusan yang mahukan kelainan ditonjolkan berbanding dengan calet di sekitarnya.

“Selepas melakukan kajian dengan mengambil contoh beberapa calet di luar negara dan memerah segala idea, akhirnya konsep ini dipilih berdasarkan faktor persekitaran Port Dickson sendiri.

“Ia boleh dikatakan sebagai mengambil kesempatan keindahan persekitaran dasar laut di daerah ini dan kelebihan inilah yang mahu kami gunakan dalam memberi yang terbaik kepada pengunjung,” katanya.

Sekeping lantai kaca itu juga diletakkan di bilik mandi yang menggunakan konsep terbuka, iaitu menempatkan tandas, tab mandi, sinki pencuci muka dan air pancur hujan bergabung dengan bilik tidur.

Apa yang menariknya mengenai bilik mandi ini ialah anda boleh membuka bumbung pada air pancur hujan yang mungkin akan mengembalikan kenangan individu yang gemar bermain hujan ketika zaman kanak-kanak.

Mengenai aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung, Chan berkata, keadaan calet terapung itu membolehkan kaki pancing menghilangkan gian mereka dalam keadaan yang selesa dan bersama keluarga mereka yang tersayang.

“Mereka boleh membaling tali joran mereka ke laut dalam balkoni calet untuk menangkap pelbagai spesies ikan yang menanti umpan.

“Selain memancing, pengunjung juga boleh menangkap ketam dari tempat penginapan mereka dan jangan takut jika anda terlupa membawa peralatan untuk dua aktiviti itu seperti joran kerana kami ada menyediakannya dengan kadar sewa yang murah,” katanya.

Apa yang boleh dikatakan terhadap hotel ini, ia amat sesuai kepada golongan yang sudah berkeluarga dan mereka yang ingin berbulan madu kerana ketenangannya.

Hotel ini tidak menyediakan tempat hiburan yang lazimnya mengeluarkan bunyi muzik membingitkan telinga anda seperti pusat hiburan yang terdapat di Kuala Lumpur.

Ketenangan yang diperoleh melalui percutian ke The Legend Water Chalet itu pastinya akan membuatkan percutian lebih bermakna kerana anda dapat lari daripada kehidupan seharian.

Jadi, tunggu apa lagi, bawalah keluarga anda melancong ke sana jika mempunyai kesempatan kerana ia menawarkan pengalaman manis yang pasti tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Bagaimana ke sana?

Untuk ke The Legend Water Chalet terletak di Batu 2, Jalan Seremban, Port Dickson, Negeri Sembilan, sama ada dari utara atau selatan, anda boleh menggunakan Lebuhraya Utara Selatan dan seterusnya Lebuhraya Port Dickson-Seremban melalui Plaza Tol Port Dickson.

FAKTA


The Legend Water Chalet mempunyai 232 unit termasuk calet serta bilik membabitkan empat jenis iaitu Deluxe Water Chalet, Executive Water Chalet, Premium Water Chalet dan Premium Tower Seaview


Menawarkan promosi menarik sempena Tahun Melawat Malaysia 2007 (TMM 07) iaitu harga serendah antara RM230 hingga RM570 termasuk sarapan pagi untuk dua orang


Bagi yang gemar berenang, pihak pengurusan menyediakan kolam renang yang sesuai untuk

No comments: