Tuesday, September 4, 2007

Perak : Pulau Sembilan tumpuan pemancing





Bekas sarang lanun di Selat Melaka mempunyai banyak lubuk ikan, pesisiran pantai putih bersih dan air jernih membiru

SESIAPA saja pertama kali menjejakkan kaki ke Pulau Sembilan, Perak pasti terpesona dengan keaslian dan keindahannya yang kaya dengan flora dan fauna.

Di samping itu, pulau yang diwartakan sebagai Taman Laut itu mempunyai pesisiran pantai putih bersih, air lautnya yang jernih membiru serta menyimpan batu karang bermutu tinggi, menjadi idaman kepada penyelam untuk menikmati keindahan di dasar lautnya.

Hidupan unggas daratnya dapat membiak dan bebas berkeliaran daripada gangguan manusia.

Mempunyai sejarah agak unik, walaupun namanya Pulau Sembilan tetapi hanya ada lapan pulau di sekitar perairan Selat Melaka itu. Pulau itu dikenali sebagai Pulau Besar, Pulau Lalang, Pulau Agas, Pulau Rumbia, Pulau Payung, Pulau Buloh, Pulau Saga dan Pulau Nipis.

Pulau Rumbia dan Pulau Lalang adalah dua pulau terbesar yang mempunyai lokasi menarik untuk penyelam kerana mereka boleh melihat keindahan alam semula jadi di dasar laut yang kaya dengan batu karang dan hidupan laut.

Pulau Lalang juga mempunyai alur air tawar yang jernih dan airnya boleh digunakan untuk minum dan mandi manda selepas bersantai di laut di samping ada sebuah surau untuk orang Islam menunaikan solat.

Mengikut cerita yang tersebar daripada mulut ke mulut terutama di kalangan penduduk tempatan, Pulau Sembilan pernah menjadi sarang lanun yang bermaharajalela di perairan Selat Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Peristiwa ini dialami peneroka awal pekan Bagan Datoh yang dikenali sebagai Tok Kelah ketika singgah di Pulau Sembilan selepas melarikan diri akibat kalah dalam perang saudara di Batu Bara, Sumatera, Indonesia. Beliau yang bersama pengikut setianya tidak dapat bertahan lama kerana diserang oleh lanun yang sudah lama bersarang di pulau itu.

Walaupun kedudukan pulau itu terpencil di tengah perairan Selat Melaka yang sunyi tanpa berpenghuni, Pulau Sembilan terus dikunjungi pelancong dan kaki pancing dalam dan luar negara.

Pulau legenda itu berpotensi menjadi lokasi memancing bertaraf dunia apabila projek tukun tiruan dilaksanakan di kawasan perairan pulau berkenaan.

Setakat ini, saban minggu boleh dikatakan ada saja pakej memancing ke Pulau Sembilan yang disertai kaki pancing tempatan termasuk dari Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya yang menyewa bot nelayan dengan kadar RM250 hingga RM300.

Bot nelayan boleh memuatkan antara 10 hingga 15 penumpang berlepas ke Pulau Sembilan dalam jarak 20 batu nautika dari Jeti Bagan Datoh mengambil masa selama satu setengah jam.

Bagi mereka yang menuju ke Pulau Sembilan melalui Jeti Bagan Datoh, mereka dapat menyaksikan satu lagi keunikan yang menakjubkan iaitu pasir timbul di permukaan laut dikenali sebagai Beting Beras Basah terletak di Kuala Muara Sungai Perak yang bersempadan dengan Selat Melaka.

Pasir yang timbul di permukaan laut selama tiga jam bermula jam 12 tengah hari hingga 3 petang manakala pada sebelah malam antara jam 7 hingga 9 malam berlaku dua kali dalam sebulan iaitu bertepatan dengan musim air pasang surut.

Kawasan pasir yang timbul meliputi keluasan antara lapan hingga 12 hektar yang mempesonakan dan orang ramai boleh berjalan di atas permukaan pasir untuk mencari ketam dan siput laut.

Bagaimana ke sana?Untuk ke Bagan Datoh, ada dua perkhidmatan bas ekspres atau teksi iaitu dari Puduraya Kuala Lumpur melalui Lebuhraya Utara Selatan terus ke pekan Bidor dan masuk menghala Teluk Intan. Perjalanan mengambil masa selama kira-kira tiga jam. Di Teluk Intan anda boleh menaiki teksi atau bas ke Bagan Datoh sejauh 45 kilometer (km) yang mengambil masa perjalanan selama satu jam.

Dari Puduraya Kuala Lumpur melalui Kuala Selangor, Tanjung Karang, Sabak Bernam dan terus berhenti di pekan Simpang Empat, Hutan Melintang yang mengambil masa perjalanan selama tiga jam. Anda boleh menggunakan teksi atai bas dari pekan Simpang Empat ke Bagan Datoh sejauh 27 km yang mengambil masa perjalanan selama 30 minit.

Dari Jeti Bagan Datoh, anda boleh menyewa bot daripada beberapa syarikat tempatan yang mengenakan bayaran antara RM250 hingga RM350.



FAKTA: Pulau Sembilan


Kementerian Pelancongan meluluskan peruntukan RM4 juta bagi menaik taraf Jeti Bagan Datoh sebagai terminal pelancongan terbaru di Perak selain Jeti Lumut dan Pulau Pangkor.


Terminal Bagan Datoh akan dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dilengkapi dengan pusat pemeriksaan imigresen, kastam dan Kaunter Penerangan Pelancongan sekali gus menjadi pintu masuk pelancong dari Indonesia ke Perak.


Pulau Sembilan kini ditadbir Pejabat daerah Manjung.


Pejabat daerah Hilir Perak memohon kepada Kerajaan Perak untuk meletakkan Pulau Sembilan di bawah pentadbirannya.


Jarak Pulau Sembilan dengan pekan Bagan Datoh hanya mengambil masa perjalanan 40 minit menggunakan bot, berbanding satu jam setengah dari Jeti Lumut atau Pulau Pangkor.


Sebuah syarikat hartanah di Perak akan membina calet dan resort di persisiran Sungai Perak berhampiran Jeti Bagan Datoh untuk kemudahan pelancong dan kaki pancing bermalam sebelum ke Pulau Sembilan.

No comments: