Friday, August 3, 2007

Cabaran Gunung Nuang




PADA ketinggian 1,493 meter, Gunung Nuang mungkin dianggap biasa oleh kebanyakan pendaki, berbanding gunung lain yang lebih tinggi dan masyhur seperti Gunung Ayam di Kelantan atau Gunung Tahan di Pahang.
Bagaimanapun, puncak tertinggi di Selangor ini mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana ramai pendaki yang pernah mendaki gunung ini menganggap ia menjadi tempat terbaik memulakan latihan bagi pendaki Semenanjung sebelum mendaki puncak tertinggi Malaysia di Gunung Kinabalu. Ini berdasarkan cabaran yang perlu dilalui pendaki untuk sampai ke puncak Gunung Nuang. Pendaki akan melalui cabaran getir yang membabitkan permainan emosi kecergasan dan kekuatan otot. Andai kurang satu daripadanya ia pasti akan memberi masalah ketika pendakian atau paling tidak akan memanjangkan masa pendakian sehingga 12 jam berbanding biasa hanya lapan jam .
Menyahut cabaran untuk menyambut kemerdekaan ke 50 negara dengan gimik mendaki sambil membawa bendera ke puncak Gunung Kinabalu kumpulan Pendaki Putera Umno (Pendaki Putera) memulakan langkah pertama dengan berlatih di Gunung Nuang. Secara keseluruhannya kumpulan Pendaki Putera mendaki tiga gunung dan merentasi dua sungai dalam masa tiga hingga lima jam untuk sampai ke perhentian terakhir sebelum ke puncak iaitu tapak perkhemahan Pacat.Kepada yang gagal meneruskan perjalanan dan berhasrat ingin menyambungnya selepas berehat, mereka boleh berhenti di dua tempat iaitu tapak perkhemahan Lolo dan tapak perkhemahan Pacat atau memilih untuk turun semula ke kaki gunung.Cabaran paling getir bermula dari tapak perkhemahan Lolo yang memerlukan kesabaran kerana setiap kali mendongak, pendaki akan mendapati puncak Gunung Nuang seakan hampir walaupun perjalanan sebenarnya memerlukan masa lebih tiga jam sebelum sampai ke tapak perkhemahan Pacat. Selepas itu perjalanan akan mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dengan pendaki terpaksa terus mendaki tegak pada ukuran 70 darjah kecuraman. Ramai juga yang terkandas di sini kerana tidak mampu meneruskan perjalanan dan mereka biasanya memilih untuk berehat di kem perkhemahan Pacat sebelum turun semula. Malang bagi Pendaki Putera apabila pendakian mereka dihalang tanda hujan lebat yang menyebabkan mereka terpaksa menghabiskan pendakian di tapak perkhemahan Pacat iaitu pada ketinggian antara 950 meter hingga 1,000 meter.
Atas dasar keselamatan Pendaki Putera terpaksa turun bagi mengelak kejadian buruk berlaku. Lazimnya trek yang licin akan menyukarkan pendakian dan selalunya boleh menyebabkan kecederaan kepada sesiapa yang berdegil.Walaupun turun hampa Pendaki Putera tidak mensia-siakan pendakian mereka. Laporan stesen televisyen tempatan mengenai masalah pembuangan sampah di kebanyakan laluan dan tapak perkhemahan gunung itu membuatkan Pendaki Putera terpanggil membantu memulihkan keadaan alam sekitar gunung itu. Tidak dapat dinafikan keindahan gunung ini banyak terjejas kerana sampah. Ia angkara pendaki yang tidak mempunyai kesedaran dan tidak bertanggung jawab menjaga alam sekitar. Permintaan yang dipasang di papan tanda dengan ungkapan “apa yang anda bawa masuk, anda bawa keluar” oleh pegawai bertugas di kaki gunung tidak diendahkan. Menyedari masalah itu, Pendaki Putera menjalankan aktiviti memungut sampah sebelum dikumpul di tapak perkhemahan Lolo untuk diangkut oleh petugas. Mereka melalui semula trek sukar Gunung Nuang dalam keadaan dengan memikul sampah yang menambahkan lagi cabarannya. Namun itu bukan masalah kerana yang penting berbakti pada alam adalah amanat yang perlu ditunaikan. FAKTA: Gunung NuangKetinggian: 1,493 meterLokasi: Hulu Langat, SelangorSuhu: 15-20 darjah CelciusMasa terbaik mendaki: Januari, Februari, Mei, Jun, Julai dan OgosTempoh mendaki: Kira-kira lapan jam untuk sampai ke puncakPemandangan: Janda Baik, Genting Highlands (Pahang) dan Jelebu (NegeriSembilan)Kelebihan: Gunung terdekat Lembah Klang dan medan latihan mencabar untukmendaki gunung lebih tinggiBoleh didaki
Dari Kuala Pangsoon di Hulu Langat.
Dari Kampung Kemensah, Gombak.
Dari Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.Bagaimana ke sana?Anda dinasihatkan menggunakan kenderaan sendiri untuk ke Gunung Naung. Anda boleh menggunakan Lebuhraya Grand Saga dan melalui Pekan Batu 9 sebelum ke Kuala Pangsoon. Jika dari Ampang, anda boleh masuk melalui Kampung Tasek Tambahan dan melalui pekan Hulu Langat.