Monday, September 10, 2007

Selangor : Segar, nikmat calet KRTC



Resort berkonsep agro dipenuhi pokok buah-buahan tempatan, dikelilingi keindahan flora, fauna timbulkan suasana aman


KALUMPANG Resort & Training Centre (KRTC) di Kampung Pasir Puteh, Hulu Selangor menjanjikan kedamaian bagi mereka yang suka nikmati keindahan alam semula jadi.

Pengunjung pastinya sukar melupakan betapa dingin air Sungai Inki yang mengalir dari Banjaran Titiwangsa sebelum melalui resort berkenaan, selain kawasan itu dikelilingi pokok buah-buahan seperti durian, rambutan, cempedak, nangka dan manggis yang mungkin sukar ditemui di tempat lain.

KRTC yang dibina di atas tanah berkeluasan 2.4 hektar terletak di kaki Bukit Kubah yang diwartakan Kerajaan Selangor sebagai Taman Warisan mampu menjadi satu lagi tarikan destinasi pelancongan di Selangor.

Sebelum ke KRTC, pengunjung akan melalui kawasan perkampungan dan jalan kebun yang berturap. Sepanjang perjalanan pengunjung dapat melihat bongkah batu semula jadi berselerakan di kawasan kebun yang menghijau milik penduduk.

Bongkah batu itu sudah cukup memberi gambaran awal bahawa KRTC yang mula menjadi tumpuan ramai itu mempunyai daya tarikan tersendiri.

Sebelum tiba di KRTC, pengunjung pada mulanya hanya disajikan pemandangan alam semula jadi, pokok buah-buahan dan calet, namun sebaik meneroka kawasan itu, baru terbongkar khazanah Sungai Inki yang mengalir di tengah-tengah resort sekali gus menjanjikan panorama menarik.

Air sungai yang jernih tanpa dicemari mengalir dari lereng Bukit Kubah dan bertakung di kawasan jeram batu yang berbongkah membentuk takat membolehkan pengunjung menikmati kesejukan dan kedinginan aroma air berkenaan.

Resort yang berkonsepkan agro dipenuhi pokok buah-buahan tempatan dan pokok hutan yang berusia ratusan tahun serta dikelilingi keindahan flora dan fauna menimbulkan suasana aman menyebabkan ia kini mula menjadi pilihan pencinta alam.

Pada musim buahan-buahan, pengunjung KRTC boleh menikmati buah-buahan tempatan di KRTC secara percuma terutama buah durian.

Sesuai dengan lokasinya yang di kelilingi Banjaran Titiwangsa, nama burung seperti merak, kenari, tiung dan bayan dipilih sebagai nama calet di KRTC.

Perjalanan yang hanya mengambil masa selama 45 minit dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Utara Selatan pastinya tidak akan membosankan pengunjung kerana sepanjang perjalanan ini, pengunjung disajikan dengan panorama alam semula jadi yang menarik. Bagi pengunjung yang ingin merasai keindahan alam sebenar, mereka boleh menginap di calet Cenderawasih yang terletak di atas bukit. Untuk ke calet berkenaan, pengunjung perlu menggunakan tangga sekali gus menguji daya ketahanan fizikal mereka.

Bunyi deruan air yang diiringi kicauan burung pasti membuatkan pengunjung sukar untuk melupakan keindahan kawasan itu dan mereka pastinya berhasrat mengunjungi semula.

Bagi kaki pancing mereka pasti terkejut kerana dapat melihat kelibat ikan kelah dan sebarau yang bermain di celahan bongkah air terjun. Bagaimanapun, pemancing tidak dibenarkan memancing kerana kawasan itu menjadi tempat pembaikan ikan milik Jabatan Perikanan Selangor.

Mereka yang sukakan aktiviti lasak pula boleh membawa kereta pacuan empat roda, merentas sungai dan jungle treking yang pasti menguji kekuatan fizikal dan mental mereka.

Pengarah Urusan KRTC, Hasni Mohd Khir, 38, berkata, KRTC sengaja menggunakan landskap pokok buah-buahan tempatan dan mengekalkan pokok hutan untuk menjamin keaslian alam semula jadi di kawasan berkenaan.

“Resort ini kini dikenali di peringkat antarabangsa selepas KRTC memperkenalkan laman webnya dan sedang dalam proses memasukkan ke dalam Kalendar Melawat Malaysia,” katanya.

Anak muda yang berasal dari daerah Sabak Bernam dan mempunyai Ijazah Pengurusan Pemasaran dari Universiti Texas, Amerika Syarikat berkata, kadar sewa calet antara RM135 sehingga RM230 adalah berpatutan dengan pelbagai kemudahan yang disediakan.

Beliau berkata, pembinaan KRTC menyumbang kepada kegiatan ekonomi di kawasan ini dan membuka peluang pekerjaan kepada anak muda di kampung.

“Selain calet, KRTC turut menyediakan kemudahan rumah wakaf, tapak perkhemahan, dewan, surau dan restoran untuk kemudahan pengunjung,” katanya.

KRTC menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung selain berkelah seperti rentas hutan, sungai, halangan, aktiviti berbasikal, aktiviti padang seperti sukan rakyat dan sukan padang, aktiviti sungai dan karaoke

Resort itu turut memperkenalkan aktiviti lasak seperti kenderaan pacuan empat roda dan lawatan perladangan. Malah, pelbagai aktiviti berkumpulan boleh dilaksanakan seperti majlis hari keluarga, aktiviti korporat dan majlis perpisahan.

Untuk keterangan lanjut boleh menghubungi laman web KRTC di www.kalumpang.com.my atau talian 03-60491969.

Bagaimana ke sana?

Perjalanan dari Kuala Lumpur hanya mengambil masa selama 45 minit dan dari Ipoh selama satu jam setengah melalui Lebuh Raya Utara Selatan menggunakan susur keluar Plaza Tol Tanjung Malim terus menuju jalan pekan Kuala Kubu Bharu. Jarak antara plaza tol ke KRTC hanya 7 kilometer dan mengambil masa kira-kira lima minit ke KRTC.

No comments: